Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, suspek berpura-pura sebagai pelanggan dengan meminta pekerja berusia 29 tahun membaiki telefon bimbit yang didakwa rosak sebelum cuba menyamunnya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mangsa yang sedang memeriksa telefon bimbit tersebut terkejut apabila suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang dan memintanya mengeluarkan wang.

"Suspek bagaimanapun merampas semula telefon bimbitnya dan turut mengambil telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis SYM.

"Pekerja itu kemudian cuba menangkapnya dan berlaku sedikit pergelutan sehingga suspek bertindak melibas parang, namun tidak kena pada mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, mangsa yang tidak berputus asa menarik baju suspek sehingga menyebabkan lelaki itu gagal mengawal motosikal lalu melanggar cermin dan tiang kedai sebelum terjatuh ke atas jalan. 

"Suspek bangun dan terus mengambil parangnya lalu mengacukannya sekali lagi ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

"Mangsa tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang dicederakan dan membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Kob," ujarnya sambil memberitahu mangsa tidak mengalami kerugian kerana telefon bimbit miliknya terjatuh di tempat kejadian dalam pergelutan tersebut.

Menurut Ahmad Nasir, susulan laporan itu, pihaknya berjaya menahan suspek berusia 23 tahun oleh anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di tepi jalan kawasan perniagaan Taman Mutiara, Sungai Kob, Karangan di sini kira-kira pukul 5.15 petang ini.

"Siasatan mendapati nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek adalah palsu dan berdasarkan pengakuan awal, suspek mengaku terlibat dalam cubaan samun itu," jelasnya.

Tambahnya, pihaknya sedang mengesan senjata dan motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

"Suspek yang didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes samun dan curi ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE