Ibu bapa Nora Anne telah dibawa ke Hospital Seremban untuk proses pengecaman mayat petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dalam satu sidang akhbar berkata, mayat wanita berkulit putih yang ditemui tengah hari tadi telah dibawa ke Hospital Seremban menggunakan helikopter.

"Mayat dipercayai Nora Anne Quoirin telah dibawa ke Hospital Seremban menggunakan helikopter dengan teknik 'winching' digunakan pihak polis bagi mengeluarkan mangsa ekoran bentuk muka bumi tidak rata," jelas Mazlan.

Beliau berkata, sekumpulan pendaki menemui mayat yang tidak berpakaian di anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari sebuah resort tempat penginapan Nora Anne yang dilaporkan hilang.

"Sebarang pengesahan akan diumumkan selepas pengecaman mayat oleh ibu bapa Nora Anne nanti," jelas Mazlan.

Tengah hari tadi satu mayat wanita berkulit putih ditemui 2 kilometer dari resort Nora Anne didakwa hilang pada 4 Ogos lalu.

Nora Anne dilaporkan hilang dari Resort The Dusun Pantai Hill dekat sini pada pagi 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti bersama ibunya, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya.

Semasa kejadian, mangsa tidur dalam bilik bersama Innes Julia, 12, dan Maurice Arthure, 8, sebelum adiknya mendapati gadis tersebut sudah tiada kira-kira pukul 8 pagi.

Mangsa bersama ahli keluarganya tiba di resort berkenaan pada pukul 7 pagi, 3 Ogos lalu. - K! ONLINE