Katanya, dia mengetahui kejadian yang menimpa mendiang pada pukul 1.30 pagi selepas dimaklumkan syarikat bas berkenaan.

"Kejadian ini amat mengejutkan saya sekeluarga kerana malam sebelum kejadian mendiang telah datang ke rumah di Desa Cempaka, Nilai pada pukul 10.30 malam untuk menanyakan khabar.

"Saya difahamkan, mendiang telah bekerja dengan syarikat bas berkenaan lebih dari 10 tahun dan tidak pernah sekalipun terlibat dalam kemalangan atau menerima saman," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mendiang akan dihantar ke Nilai, Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian.

"Pemergian mendiang amat dirasai kerana kami duduk satu taman dan anaknya sering datang ke rumah untuk belajar di rumah bersama isteri saya.

"Mendiang meninggalkan seorang isteri berusia 42 tahun termasuk tiga orang anak terdiri daripada seorang perempuan berusia 12 tahun serta dua lelaki masing-masing berusia 9 dan 8 tahun," ujarnya.

Dalam pada itu, rakan baik kepada salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul berkata, kehilangan Rosvita Loka Harahap, 23, merupakan satu kehilangan besar dalam dirinya.

"Saya mengenali mangsa sejak tiga tahun lalu dan tinggal bersama di Nilai, Negeri Sembilan selain bekerja di tempat yang sama di bahagian  perkeranian.

"Saya mengetahui kejadian ketika sedang bekerja dan dimaklumkan rakan sekerja yang lain sebelum terus bergegas ke lokasi kejadian," katanya

Ketika ditanya keadaan keluarga mangsa yang berada di Medan, Indonesia, Nurul memberitahu, keluarga mangsa telah dimaklumkan tentang kejadian itu. 

"Cuma saya tak pasti sama ada mereka akan datang ke sini atau tidak," katanya. - K! ONLINE