Beliau memaklumkan hadir ke IPK negeri pada pukul 6.30 petang ini selepas dihubungi dan diminta untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung video tersebut oleh pegawai penyiasat dari Bukit Aman, semalam.

Katanya, bagaimanapun, setakat ini beliau tidak mempunyai sebarang perkembangan berhubung bekas Setiausaha Sulit Kanannya, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan video berkenaan.

"Saya telah dihubungi oleh pegawai penyiasat dari Bukit Aman untuk hadir ke IPK Melaka bagi membantu siasatan berhubung video tersebut.

“Walaupun saya tidak mempunyai perkembangan lain mengenai Haziq Abdullah, saya akan tetap menjawab segala pertanyaan pegawai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya di Kota Fesyen Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini sebentar tadi.

Pada Isnin lalu, satu video aksi seks yang didakwa melibatkan menteri berkenaan bersama seorang lelaki tular dalam media sosial dan Haziq Abdullah kemudian tampil mendakwa dia merupakan individu di dalam klip tersebut.

Shamsul Iskandar dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam memaklumkan kali terakhir beliau dapat menghubungi Haziq Abdullah adalah pada Selasa lalu iaitu selepas pulang dari Yangon, Myanmar atas urusan rasmi.

Beliau berkata, dia kemudian cuba menghubungi bekas setiausaha sulitnya itu menerusi khidmat aplikasi WhatsApp tetapi tidak dibalas.

Katanya, Haziq Abdullah telah digantung tugas berkuat kuasa semalam dan diarahkan memberi surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari berhubung isu tersebut. - K! ONLINE