Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini berikutan pada zaman sekarang pelbagai gambar boleh dihasilkan oleh mereka yang bijak (dalam teknologi).

Katanya, tindakan menggunakan gambar sebegitu sepatutnya tidak berlaku di Malaysia.

"Saya tidak rasa itu adalah benar sebab sekarang boleh hasilkan apa sahaja gambar kalau pandai (dalam teknologi). Mungkin satu hari nampak gambar saya pula.

"Benda ini sengaja (dilakukan) untuk orang yang ada agenda politik. Benda ini kotorlah," katanya pada sidang akhbar selepas majlis sejuta kenangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penyebaran foto dan video lucah yang menyerupai Mohamed Azmin dengan seorang lelaki tular dalam media sosial sejak kelmarin.

Selain itu, seorang lelaki bernama Haziq Aziz membuat pengakuan bersumpah menerusi sebuah rakaman video yang menyatakan bahawa pasangan yang tular itu ialah dirinya dan Mohamed Azmin.

Menurut Mahathir, taktik kotor sebegitu selalu digunakan oleh individu selepas didapati gagal mengalahkan individu lain terutama dalam bidang politik.

"Jangan buat taktik kotor sebaliknya kekalkan politik bersih. Kalau tidak boleh lawan dengan orang jangan buat begitu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut hairan apabila lelaki yang dikatakan melakukan hubungan sejenis itu sengaja mengaku akan perbuatannya.

"Biasanya orang sama yang buat akan malu sebaliknya dia mengaku dia yang buat, apa tujuannya," katanya.

Jelas Mahathir, beliau ada bertemu dengan Azmin pada mesyuarat Kabinet semalam secara kebiasaannya.

"Saya pun ada jumpa dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim semalam (kelmarin) tetapi tidak tahu pasal perkara ini. Pagi ini baru tahu," katanya

Terdahulu, Mohamed Azmin turut menafikan tuduhan mengaitkan dirinya terlibat dalam satu rakaman video lucah yang tular di media sosial sejak semalam.

Mohamed Azmin mendakwa, rakaman video tersebut digunakan sebagai satu komplot untuk menjatuhkan maruah dan memusnahkan karier politiknya. - K! ONLINE