Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki terkhilaf semasa memberi reman terhadap kelima-lima suspek.

Mahkamah bagaimanapun mengekalkan tempoh reman enam hari terhadap seorang lagi suspek kes itu yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

"Lima suspek yang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan direman selama empat hari.

"Manakala seorang lagi suspek (Haziq) disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kekal reman selama enam hari," katanya.

Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi hukuman memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala, Seksyen 292 Kanun Keseksaan pula menyebar bahan lucah yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan di luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Radzi Abdul Razak berkata, permohonan diari siasatan masih dalam peringkat siasatan dan masih terlalu awal untuk mengasingkan tuduhan secara individu.

Bagaimanapun, peguam S. Ramesh yang mewakili lima suspek termasuk Haziq berkata, kes itu terdapat kekeliruan mengenai reman mengikut Seksyen 377 B terhadap kelima-lima suspek itu.

"Permohonan reman itu sepatutnya dibuat secara individu atau berasingan memandangkan mereka disiasat mengikut seksyen berasingan," katanya.

Sementara itu, A. Ashok yang mewakili seorang lagi suspek berkata, diari siasatan juga tidak dikemukakan kepada mahkamah ketika prosiding.

"Majistret tidak mengemukakan sembilan alasan dalam diari siasatan sebaliknya hanya enam yang diberikan. Antara alasan diberikan termasuk kesan rakan jenayah, maklumat orang awam; gambar tempat kejadian; rakaman percakapan; kawad cam dan cap jari," katanya. - K! ONLINE