Difahamkan lima individu lain yang ditahan bersama Haziq Abdullah Abdul Aziz malam kelmarin dipercayai mempunyai hubungan dengan ADUN tersebut.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya menjalankan siasatan dengan teliti dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kertas siasatan tersebut kita kemukakan kepada Pejabat Peguam Negara bagi menunggu arahan selanjutnya.

“Pihak PDRM kemudiannya akan melaksanakan arahan dan setelah sempurna, barulah ia akan dihantar semula. Oleh sebab itu, siasatan ini perlu dijalankan dengan teliti dan berhati-hati,” katanya pada sidang akhbar selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Batalion 4, Pasukan Gerakan Am, Semenyih di sini hari ini.

Abdul Hamid menambah, perkara tersebut tidak boleh diselesaikan secara sekaligus kerana proses tersebut bergantung kepada hasil siasatan.

“Kes sebegini amat rumit kerana ia melibatkan ahli politik.

“Proses siasatan  turut dibuat ke arah mengenalpasti penglibatan dalang utama di sebalik konspirasi video tersebut,” ujarnya.

Kosmo! Online semalam melaporkan polis memberkas enam individu dan merampas 13 buah telefon bimbit bagi membantu siasatan kes berkenaan kelmarin.

Salah seorang daripada mereka merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah, 27, yang mengaku dia ialah individu di dalam video tersebut.

Baki lima lagi lelaki berusia antara 25 hingga 38 tahun itu dipercayai ahli Parti Keadilan Rakyat yang disyaki terlibat dalam konspirasi merakam video seks berkenaan. - K! ONLINE