Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya membantah sebarang usaha fitnah jahat pihak tidak bertanggungjawab dalam penyebaran video seks yang melibatkan timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

"Negara sepatutnya perlu tumpu pada soal pembangunan ekonomi dan sosial, bukan perlu terpalit dengan isu kotor dan hina seperti ini.

"Kami menyokong penuh siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes ini dan berharap proses tersebut dapat dijalankan dengan adil dan teliti," katanya lagi dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Menyentuh berkenaan dua lagi video terkini yang tular baru-baru ini, Anwar berkta, beliau tidak berminat untuk mengulas lanjut.

"Secara peribadinya saya tidak berminat hendak melihatnya tetapi saya harus tahu apa yang berlaku supaya ia tidak mengganggu dan menggugat pendirian kita terhadap kes ini," ujar Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Anwar mendakwa, pihaknya memutuskan untuk tidak lagi mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Haziq Aziz kerana perlu meneliti perkara tersebut dengan lebih terperinci.

"Setakat ini belum ada apa-apa keputusan dari pihak parti kerana kita mendapati ada beberapa implikasi lain, jadi kita tidak mahu sebarang masalah lain berlaku.

"Apa yang lebih penting sekarang ialah kita menyerahkan kes ini kepada PDRM dan SPRM untuk meneruskan siasatan selanjutnya," katanya lagi. - K! ONLINE