Penahanan reman tersebut dilakukan polis bagi membantu siasatan berhubung kes video intim yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Difahamkan, seorang lagi pembantu Farhash telah dibebaskan dengan jaminan polis. 

Timbalan Pengerusi PKR Perak, M. A. Tinagaran berkata, polis tidak sepatutnya menahan Farhash bahkan hanya cukup untuk diambil keterangannya sahaja. 

“Saya tidak nampak keperluan untuk menahan beliau (Farhash) dalam kes ini memandangkan ia bukan kes jenayah. 

“Cukup sekadar ambil keterangan bagi membantu siasatan kerana kes ini disiasat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Tambah Tinagaran, dalam kes jenayah yang melibatkan seorang Ahli Exco kerajaan negeri Perak misalnya, polis hanya merakamkan percakapan sebelum Exco tersebut dibebaskan tanpa perlu direman. 

“Kes yang melibatkan Exco Perak itu merupakan kes rogol iaitu gangguan seksual. Mengapa polis tidak menahan reman Exco tersebut dan membebaskannya selepas diambil keterangan?

“Ini menunjukkan ada ‘double standard’ dalam dua keadaan ini dan saya melihat prosedur operasi standard (SOP) polis masih tidak berubah walaupun berada di bawah Malaysia Baharu,” katanya. 

Kosmo! Online semalam melaporkan, tiga individu ditahan polis di sekitar Johor Bharu bagi membantu siasatan berhubung rakaman video intim membabitkan seorang lelaki mirip Menteri Kabinet.

Ketiga-tiga individu terbabit terdiri daripada lelaki warga tempatan berusia lingkungan 29 hingga 37 tahun dan beberapa unit telefon bimbit turut dirampas. - K! ONLINE