Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, hasil siasatan polis mendapati ratusan ribu ringgit diupah bagi menghasilkan video berkenaan bagi tujuan menjatuhkan reputasi individu tertentu.

“Selain itu, hasil analisis dari CyberSecurity Malaysia mengesahkan kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi, namun proses pengecaman wajah negatif sekali gus tidak dapat mengaitkan pelaku yang dimaksudkan dalam video itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan seorang lagi lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung penyebaran video lucah yang dikaitkan menteri Kabinet menjadikan mereka yang ditahan setakat ini meningkat kepada lapan orang.

Farhash Wafa Salvador yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan bersama dua individu di sekitar Johor Bahru pada pukul 2.30 petang semalam.

Sebelum ini, polis memberkas enam individu termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz selain merampas 13 buah telefon bimbit bagi membantu siasatan berhubung penyebaran video itu yang dikaitkan dengan menteri kanan Kabinet. - K! ONLINE