Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan mengikut prosedur operasi standard.

"Ingin saya jelaskan bahawa siasatan ini tidak melibatkan sebarang campur tangan dari mana-mana pihak dan tiada tekanan yang diberikan kepada saya.

"Kita bebas menjalankan siasatan berhubung video berkenaan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan," katanya ketika sidang akhbar selepas lawatan rasmi ke Markas Angkatan Tentera Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai ketulenan video berkenaan beliau memberitahu pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Pada 13 Jun lalu, Haziq dalam satu kenyataan mengakui sebagai individu di dalam rakaman video lucah dengan seorang lelaki yang tular di laman sosial.

Haziq yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong mengakui bahawa seorang lagi lelaki yang bersamanya dalam rakaman berkenaan adalah seorang menteri kanan.

Sementara itu, Hamid turut menafikan dakwaan Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Perak bahawa Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador tidak diberi makan dalam tempoh 24 jam ketika di bawah tahanan reman.

"Itu semua dakwaan yang tidak betul dan saya menafikan sekeras-kerasnya," jelasnya.

Kosmo! hari ini melaporkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan seorang lagi lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung penyebaran video lucah yang dikaitkan menteri Kabinet menjadikan mereka yang ditahan setakat ini meningkat kepada lapan orang. - K! ONLINE