Menurut Zulkifli, beliau mengakui berasa gusar dengan penyebaran video berkenaan yang bakal mendatangkan pelbagai masalah kepada umat Islam di negara ini pada masa akan datang.

“Saya mencadangkan agar kita semua sentiasa bermuhasabah dengan mengingati Allah SWT kerana setiap perbuatan kita pasti akan diperhitungkan satu persatu oleh Allah SWT.

“Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, marilah sama-sama kita bermaaf-maafan dan mencari keredhaan Allah SWT selepas kita disucikan dengan ibadat puasa, zakat fitrah dan qiam pada Ramadhan yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, Twitter dan Instagram rasminya malam ini.

Selain itu, beliau turut melontarkan buah fikirannya melalui empat artikel yang boleh dijadikan panduan diterbitkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan semalam.

“Oleh kerana merasakan perlunya satu panduan yang tuntas kepada umat Islam di Malaysia, saya meluangkan sedikit masa untuk membuat kajian dan menyiapkan empat buah artikel Bayan Linnas berhubung isu ini petang tadi.

“Inilah tanggungjawab yang telah saya lunaskan selaku Mufti Wilayah Persekutuan bagi menyampaikan apa yang termaktub dalam al-Qur'an dan al-Sunnah berhubung isu ini,” katanya. – K! ONLINE