Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Amirudin Shari berkata, tindakan sesetengah pihak yang membuat pelbagai andaian antaranya sama ada video berkenaan tulen atau tidak adalah tidak sama sekali membantu menangani politik fitnah dan jijik.

"Jangan nak kalau-kalau lah, jika siasatan polis dapati ia (video) benar, maka ambillah tindakan, sementara itu kita beri ruang kepada polis untuk lakukan siasatan.

"Kita jangan buat asumsi-asumsi tulen atau tidak tulen, ia tidak membantu sama sekali dalam kita menangani politik jijik ini," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan mahu menteri yang didakwa terlibat dalam video itu meletakkan jawatan jika ia terbukti tulen.

Amirudin bercakap pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Wacana Perbandaran Rendah Karbon Ke Arah Bandar Pintar peringkat Selangor dan Pelancaran Green Earth Smart System di sini hari ini. - Bernama