Jelas beliau, pelbagai tekanan dikenakan ke atas dirinya oleh ahli politik bukan dari kerajaan terutamanya berkenaan pengesahan ketulenan video tersebut.

"Daripada awal dahulu saya telah tekankan bahawa isu ini banyak membuang masa yang saya perlukan sebagai ketua polis negara untuk memastikan anak buah saya menumpukan pada kerja membasmi dan mencegah jenayah, tapi tiba-tiba muncul isu yang pada saya tidak sepatutnya berlaku.

"Sensitiviti isu ini begitu tinggi dan menarik minat ramai khususnya ahli politik, jadi pelbagai desakan dikenakan ke atas saya. Desakan yang diterima bukanlah daripada pucuk pimpinan kerajaan namun daripada mereka yang berada di luar ini (pembangkang),"  katanya pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Menurut Abdul Hamid, pelbagai desakan diterima daripada ahli-ahli politik ini agar mengeluarkan kenyataan berhubung ketulenan video berkenaan sedangkan itu bukan kerja beliau.

"Mereka banyak membuang masa dengan isu ini dan saya menyeru sekiranya ingin berpolitik, biarlah sesama mereka (ahli politk) sahaja dan jangan limpahkan keluar sehingga orang ramai rasa terbeban malah pihak kami juga terpaksa keluarkan belanja yang besar untuk menerbangkan pasukan siasatan ke sana sini, membuang masa.

"Saya minta ahli-ahli politik tidak usahlah membuat pakatan yang jahat dan melakukan perkara-perkara sebegini (video lucah). Ia sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh ahli politik yang matang. Sudah setahun lebih pilihan raya umum berlalu namun masih lagi dengan perkara sebegini ," tegas beliau.

Abdul Hamid berkata, pihak polis memerlukan masa untuk tumpukan pada tanggungjawab mereka seperti meningkatkan integriti dan servis kepada orang ramai namun sebaliknya dibebankan dengan perkara remeh dan mengaibkan sebegini.

"Saya rasa terkilan memandangkan banyak masa anak buah saya terbuang dengan perbuatan sia-sia dan perkara tersebut (video intim) sungguh tidak baik untuk didedahkan kepada umum terutamanya anak-anak muda.

"Nasihat saya kepada ahli-ahli politik adalah biarlah bertanggungjawab dan jika mahu berkelahi atau berebut kuasa biarlah sesama mereka sahaja, jangan libatkan orang luar sehingga membebankan banyak pihak," ujarnya.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid menambah, biarlah polis bebas menjalankan siasatan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka secara profesional.

"Siasatan belum selesai lagi dan masih ada beberapa tindakan yang perlu diambil untuk melengkapkannya dan kita tidak mahu tersilap dalam mengambil tindakan.

"Duit begitu banyak dikeluarkan, orang ramai perlu tahu kenapa proses ini berjalan bergitu lama, mereka tidak paham rentetan tindakan yang perlu diambil bagi membolehkan kita menyiasat hingga ke akar umbi," katanya. - K! ONLINE