Shamsul Iskandar berkata, ini kerana tarikh tersebut jatuh pada hari Sabtu dan di luar waktu pejabat kementerian iaitu pada hari Isnin hingga Jumaat.

"Saya pergi Sandakan pada 8 Mei iaitu hari Rabu dan pulang keesokan harinya iaitu hari Khamis.

"Saya fikir tidak (bertugas) kerana 11 Mei itu hari Sabtu jadi hari bekerja kementerian ialah pada hari Isnin hingga Jumaat. Mungkin (Haziq berada di sana atas kemahuan sendiri). Lepas waktu pejabat bukan," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Industri Utama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Haziq dihantar bertugas untuk kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) sempena Pilihan Raya Kecil Sandakan pada 11 Mei lalu.

Ditanya mengenai reaksi beliau selepas penularan video intim songsang melibatkan Haziq, Shamsul Iskandar secara ringkas menjawab bahawa dia bingung.

"Saya bingung. Yang diwacana di sosial media itu macam-macam. Sebagai orang yang melantiknya saya bingung kerana tidak ada perwatakan seperti itu selama enam bulan dia bertugas," katanya.

Menurut Shamsul Iskandar, kali terakhir beliau menghubungi Haziq adalah hari Selasa lepas berhubung urusan kerja kerana ketika itu beliau berada di Myanmar.

"Sebelum saya berlepas dari Yangon ke Kuala Lumpur, saya hantar pesanan teks menerusi Whatsapp untuk dia datang ke pejabat bagi mengadakan perbincangan (berhubung isu video intim) tetapi malangnya Haziq tidak balas," katanya.

Shamsul Iskandar berkata, Haziq juga tidak masuk ke pejabat sejak hari Selasa lalu.

"Saya fikir dia tidak hadir tanpa memohon cuti," katanya.

Ditanya jika kementerian ada menghubungi keluarga Haziq apabila dia tidak dapat dihubungi, Shamsul Iskandar berkata, beliau difahamkan keluarga tidak ada komunikasi dengannya.

"Keluarga Haziq tidak tahu keberadaannya buat masa ini.

"Tentulah keluarganya sedih dengan apa yang berlaku, jadi sebagai majikan saya telah minta pegawai untuk menenangkan keadaan kerana kita semua sedia maklum keluarga datang dahulu,” katanya. - K! ONLINE