Peguamnya, Ramesh Sivakumar berkata, anak guamnya berada dalam keadaan yang baik dan ceria serta memaklumkan memberi kerjasama baik kepada polis.

“Pihak polis memberitahu bahawa sehingga masa kini tiada sebarang keperluan untuk menahan dia.

“Namun, jika diperlukan dia akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam proses siasatan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Ramesh menambah, anak guamnnya meminta untuk diberikan masa berehat dan tidak mahu diganggu oleh sesiapa pada masa ini.

“Pasukan kami (peguam) akan berjumpa dengan dia untuk membincangkan sebarang tindakan yang perlu selepas ini.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pihak polis akan menghubunginya dalam masa dua minggu jika terdapat sebarang keperluan,” ujarnya.

Apabila ditanya berkenaan sebab anak guamnya mahu pergi ke Manila, beliau masih tidak mengetahui sebabnya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan mengesahkan, Haziq Abdullah dibebaskan kira-kira pukul 5.45 petang di IPD Dang Wangi.

Terdahulu, dia telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kira-kira pukul 5.30 pagi tadi hingga pukul 4 petang sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi.

Kosmo! Online semalam melaporkan Haziq Abdullah ditahan ketika berada di terminal pelepasan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Berdasarkan tiket penerbangan, dia dijadual berlepas ke Manila, Filipina. - K! ONLINE