Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Amirudin Shari berkata, ini kerana kuasa tersebut terletak pada biro politik dan lembaga displin parti. 

"Itu keputusan biro politik dan lembaga displin parti namun bagi saya, parti perlu membuat keputusan.

"Ada proses perlu dilakukan dan kita kena hormati dan menjaga keadilan pada semua," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian pusat beli-belah Central i-City di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas sekiranya terdapat cadangan penggantungan keahlian kepada Haziq dalam PKR. 

Amirudin yang merupakan Menteri Besar Selangor memberitahu mesyuarat ahli MPP akan diadakan pada bulan depan namun menyatakan tidak mengetahui sama ada usul berkaitan penggantungan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. 

"Sekiranya parti ada merasakan perlu memanggil atau membuat keputusan dengan segera (berkaitan Haziq) tetapi proses perlu dilalui," jelasnya. 

Haziq sebelum ini telah digantung tugasnya sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Industri Utama,  Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin susulan penyebaran dan pengakuan video seks sejenis dengan menteri kanan persekutuan. 

Lelaki berusia 27 tahun itu kemudiannya ditahan kira-kira pukul 5.30 petang semalam ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Manila, Filipina. 

Dalam pada itu, ketika ditanya gesaan supaya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercuti sementara daripada tugas rasminya, Amirudin sebagai 
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor menegaskan tiada keperluan mengenainya. 

"Saya senada dan mempunyai pemikiran sama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Mohamed Azmin perlu meneruskan kerja seperti biasa. 

"Cadangan itu hanya ingin menganggu perjalanan pentadbiran Malaysia baharu," katanya. - K! ONLINE