Farhash ketika ditemui sebaik dibebaskan kira-kira pukul 3.45 petang berkata, kebebasan beliau telah ditarik apabila ditahan walaupun tiada sebarang laporan polis yang dibuat ke atasnya. 

"Mengapa mereka tidak hubungi sahaja saya untuk mendapatkan keterangan, sebaliknya saya ditahan seperti penjenayah dan mereka cuba mengenakan hukuman yang paling berat kepada saya di bawah Seksyen 377B.

"Mereka cuba untuk mereman saya selama tujuh hari, dan menambah lagi tujuh hari, syukurlah saya mempunyai peguam yang bagus," katanya ketika ditemui sebaik dibebaskan daripada tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini. 

Menurut Farhash, apabila reman ke atasnya disambung, ia telah ditukar ke Seksyen yang lebih ringan. 

"Mereka (polis) fikir ada konspirasi politik yang direncana, pada saya memang ada konspirasi politik, tetapi terhadap Anuar Ibrahim. 

"Jika Ketua Polis Negara mempunyai kredibiliti, tahan Azmin Ali dan soal siasat dia," tegas beliau. 
Terdahulu, Farhash bersama seorang lagi individu ditahan reman selama tujuh hari bermula 17 Julai lalu bagi membantu siasatan berhubung isu penularan video hubungan seks sejenis itu. 

Turut dibebaskan daripada tahanan reman pada hari sama adalah Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ditahan pada 15 Julai lalu. 

Haziq Abdullah ditahan bersama lima lagi individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (terlibat dengan seks luar tabii), Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah) dan Seksyen 323 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (menyebarkan video lucah) bagaimanapun lima individu berkenaan telah dibebaskan tiga hari kemudian. 

Haziq Abdullah yang dilihat keluar daripada perkarangan IPD Dang Wangi dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona kira-kira pukul 4 petang namun enggan memberikan sebarang ulasan dan hanya melambaikan tangan kepada petugas media. 

Sementara itu, peguam kepada Haziq Abdullah, Ramesh Sivakumar berkata, pihaknya akan menunggu dan melihat apa perkembangan selanjutnya sebelum membuat sebarang tindakan. 

"Haziq berada dalam keadaan baik, dan pihak polis sangat profesional dalam menjalankan tugas. 

"Hari ini Haziq dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan juga hampir selesai. Tiada sebarang kemungkinan untuk dia (Haziq) ditahan semula," jelas beliau. 

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan pembebasan ketiga-tiga individu berkenaan. 

"Ketiga-tiga mereka dibebaskan dengan jaminan polis manakala seorang lagi individu iaitu seorang ahli perniagaan yang ditangkap di Shah Alam sebelum ini akan tamat reman esok,” katanya dalam satu kenyataan. - K! ONLINE