Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, sehingga masa kini, tiada sebarang tangkapan terbaharu dalam kes itu.

“Tangkapan terakhir adalah Haziq Abdullah baru-baru ini yang telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Sebarang perkembangan terbaru kita akan siasat dalam kertas siasatan yang sama,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke-84 di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Koperasi Polis PDRM hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan tersebut yang turut disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador merangkap Yang Dipertua koperasi tersebut.

Mazlan menambah, masih belum ada petunjuk baharu daripada aspek forensik video tersebut.

“Laporan kesahihan video masih dalam proses tindakan. Tiada sebarang keputusan dibuat lagi buat masa kini,” ujarnya.

Tengah malam tadi, telah tular satu video terbaharu berdurasi 30 saat yang menunjukkan seorang individu mirip Mohamed Azmin sedang berbaring di atas katil memegang telefon bimbitnya.

Dalam video keempat yang tular itu, turut kedengaran bunyi televisyen yang dibuka di dalam bilik tersebut.

Walaupun tiada kelibat Haziq seperti di dalam video sebelum ini tetapi terdapat pergerakan tuala di hujung video yang mungkin dilakukan olehnya. - K! ONLINE