Dalam sebuah video berdurasi 22 saat yang tular di laman media sosial, kelihatan beberapa kenderaan hampir tenggelam dalam air banjir di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, hujan lebat selama sejam bermula pada pukul 3.40 petang itu menyebabkan kuantiti air yang sangat banyak dan tidak dapat ditampung oleh sistem perparitan di kawasan tersebut.

“Paras air banjir telah mencapai sehingga satu meter menyebabkan beberapa kenderaan terapung dan dihanyutkan di dalam air.

“Impak terjahan daripada kenderaan lain yang melalui jalan tersebut juga telah menyebabkan arus air berlaku di kawasan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Risikin menambah, seramai empat anggota trafik dari IPD Subang Jaya telah ditugaskan untuk mengawal lalu lintas di beberapa kawasan di daerah ini dan turut dibantu oleh dua kereta peronda (MPV).

“Antara kawasan yang dipantau adalah di Persiasatan Kewajipan menuju ke USJ, Persiaran Mulia di USJ 8 dan Persiaran Tujuan, USJ 11.

“Keadaan lalu lintas di kesemua kawasan ini perlahan akibat banjir kilat tetapi masih terkawal,” ujarnya.

Beliau berkata, paras air mula surut dalam masa satu jam kemudian dan lalu lintas begerak dengan lancar apabila hujan lebat telah berhenti.

“Tiada sebarang kecederaan dan hanya beberapa buah kenderaan yang rosak masih tersadai. 

“Kesemua pemiliknya sedang mendapatkan bantuan untuk membaiki kenderaan masing-masing,” katanya. - K! ONLINE