Demikian luahan seorang pesara kerajaan, Abdul Fatah Wan A.Rahman, 68, dari Kampung Seren, Bukit Besi di sini yang video memaparkan dia terjatuh berdekatan harimau tular di media sosial.

Mengimbas kembali kejadian tersebut, Abdul Fatah berkata kira-kira pukul 2 petang semalam, beliau mengajak isterinya Zarina Ahmad Khan, 59, serta anak mereka berkunjung ke Kampung Besul, Bukit Besi selepas berita mengenai kehadiran harimau 'jinak' di kampung tersebut heboh.

Tertarik dengan berita tersebut, beliau tidak mahu melepaskan peluang melihat 'raja rimba' itu dalam jarak dekat, namun ketika sedang asyik memerhatikannya bersama penduduk kampung, harimau tersebut tiba-tiba melompat naik daripada bawah tebing dan orang ramai lari lintang-pukang. 

"Kejadian itu berlaku sekelip mata. Saya sendiri terjatuh ketika cuba melarikan diri. Bila cuba bangun, harimau itu sedang menjilat bahu saya dan saya lantas menepis mukanya sebesar dulang itu dengan tangan saya.
 
"Harimau tersebut kemudian hilang dari pandangan saya. Perasaan masa itu tidak dapat digambarkan dan masa itu saya hanya ingat mati," katanya ketika ditemui media di rumahnya hari ini. 

Ekoran kejadian tersebut, Abdul Fatah mengalami cedera ringan di siku kanan dan kaki kiri serta demam kerana terkejut.

Menurutnya, peristiwa itu akan dikenang seumur hidup dan akan diceritakan kepada anak cucu pada masa akan datang sebagai teladan dan pengajaran bersama.

Sehingga berita ini ditulis, difahamkan harimau tersebut telah lari ke dalam kawasan hutan berdekatan dan pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya berwaspada jika terserempak dengan kelibat sang belang tersebut. - Bernama