Suami kepada aktres Diana Danielle berusia 38 tahun itu berkata, beliau berasa tidak selesa selepas menghisap rokok yang diberikan salah seorang daripada dua kenalan baharunya.

Menurutnya, beliau mengenali dua kawan baharunya itu daripada rakan artisnya sendiri di situ yang dipercayai menganggotai sebuah kumpulan muzik popular tahun 1990-an.

"Selepas diperkenalkan, kami hanya bersembang kosong sebelum seorang daripada dua individi itu mengeluarkan beg bimbit hitam.

"Dia kemudian mengeluarkan tembakau dan membalutnya dalam kertas putih," katanya.

Beliau berkata demikian dihadapan Majistret Nor Arifin Hisham ketika menjawab soalan Peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif pada prosiding bicara bela diri membabitkan empat pertuduhan dialami pelakon itu.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Menurutnya, beliau sebagai perokok kemudian mahu mengambil rokoknya yang tertinggal dalam kereta tetapi dihalang seorang kawan baharunya itu.

Rakannya itu kemudian memberitahu "Kau tak payah ambil rokok kau tu, nah hisap sahaja rokok ini," ujar Farid Kamil yang menceritakan semula episod hitam pada kejadian 9 Januari 2018 selepas pukul 10 malam itu. 

Jelas Farid Kamil, selepas menghisap rokok itu, beliau berasa pening, tidak selesa dan tekak kering sehingga dia tidak sedar malah tidak dapat mengingati apa yang berlaku.

Pada 16 Januari 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 36, dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 25.

Farid Kamil juga berdepan dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Muhammad Nizam dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas. 

Kesemua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Pada 15 Mei lepas, pelakon itu dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan penyalahgunaan dadah, namun Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkenaan. - K! ONLINE