Tiga daripada banduan terbabit yang cuba lolos dengan berjalan kaki, berjaya ditahan semula oleh pengawal tetapi tiga rakan mereka masih bebas selepas melarikan diri dari mahkamah dengan menaiki  trak pikap penjara yang digunakan untuk membawa mereka.

Menurut laporan media tempatan, warder penjara yang memandu kenderaan itu telah cuai dengan meninggalkan trak berkenaan tanpa dijaga manakala kuncinya masih berada di dalam kenderaan itu ketika membawa banduan ke mahkamah.

Melihat ada peluang untuk melarikan diri, tiga daripada banduan itu berlari ke arah pintu  masuk mahkamah tetapi berjaya ditumpaskan dan ditangkap oleh pengawal yang sebelum itu mengejar mereka, manakala tiga lagi banduan melarikan diri dengan memandu kenderaan penjara yang tidak dijaga itu.

Dalam keadaan tergesa-gesa untuk melarikan diri, trak curi yang dinaiki tiga banduan itu merempuh pintu pagar  mahkamah dan menggilis seorang lagi banduan yang tubuhnya sedang ditekan ke tanah oleh seorang daripada pengawal yang mengejarnya.

Tidak jelas sama ada banduan terbabit mengalami kecederaan dalam insiden itu. - Bernama