Kebakaran itu melibatkan sebuah premis menyimpan makanan ringan dan sebuah restoran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, tiada kemalangan jiwa dalam insiden itu.

"Premis yang terbakar adalah sebuah kedai dijadikan stor menyimpan makanan ringan yang menyebabkan api besar. 

"Kebakaran itu merebak ke restoran di sebelah premis itu. Kedua-dua premis itu telah ditutup semasa kejadian," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 9.20 malam dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

Menurut beliau, lebih 20 pegawai dan anggota bomba bersama beberapa buah jentera dikerahkan memadamkan kebakaran itu.

"Api berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 10 minit dan operasi selesai sepenuhnya pada pukul 12 tengah malam," katanya. - K! ONLINE