Kedua-dua lelaki berusia 20 dan 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira pukul 10.30 malam tadi di Taman Johor Jaya, Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kedua-dua suspek yang bekerja di sebuah kedai peralatan sukan itu kini direman selama empat hari bermula hari ini.

"Kita sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

"Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Selasa lalu media melaporkan seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri menjadi mangsa samseng jalanan apabila diserang dan ditumbuk tiga individu pada Isnin.

Rakaman video insiden itu berdurasi 1 minit 17 saat turut tular dalam laman sosial dengan memaparkan tiga individu terbabit yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda HRV telah memotong kenderaan jenis Proton Exora dipandu mangsa yang berusia 46 tahun.

Suspek kemudian bertindak memberhentikan kenderaan di atas jambatan sebelum menyerang dan menumbuk muka mangsa beberapa kali. - K! ONLINE