Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram  (AMLATFPUAA) 2001.

Tujuh pihak itu selaku responden ialah UMNO, bekas Ahli Parlimen Paya Besar Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Wanita MCA, Syarikat pengurusan acara Binsabi Sdn. Bhd., Syarikat pelaburan Perano Sdn. Bhd, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah dan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek.

Menurut Mohamed Zaini mahkamah memberi masa selama dua bulan sebelum 25 Ogos ini untuk  pihak pendakwaan selaku pemohon untuk menyempurnakan proses pewartaan notis berkenaan.

"Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk pengurusan kes seterusnya," kata Mohamed Zaini ketika pengurusan kes di sini.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar manakala UMNO diwakili peguam Nurfazreen Hazrina Rahim, Wanita MCA diwakili peguam Alane Neo, syarikat Binsabi diwakili peguam Muhammad Hasif Hassan dan Mohd. Khalil Tajuddin.

Pada masa sama, syarikat Perono diwakili peguam Thevini Nayagam, UMNO Sabah diwakili peguam Hareharenjit Singh dan Hassan Malek diwakili peguam Amin Othman.

Pewartaan notis kepada pihak ketiga bermaksud pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dan mahu menuntut harta yang dirampas daripada  responden itu harus hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan. - K! ONLINE