Tertuduh, Eric Liew Chee Ling, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.

Mengikut pertuduhan, Eric didakwa telah menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui profil 'Eric Liew" antara pukul 7. 01 petang hingga 9. 23 malam secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik  menghina Sultan Muhammad V dalam laman Facebook miliknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 8 malam di pejabat unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5, Jabatan Siasatan Jenayah Tingkat 2, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada 6 Januari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta yang sama iaitu denda RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Kamal mencadangkan jaminan RM20,000 kerana ia membabitkan kes berprofil tinggi selain membuktikan bahawa mahkamah memandang serius kes itu.

Bagaimanapun  tertuduh yang diwakili peguam, New Sin Yiew merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan kes sedemikian sebelum ini hanya dikenakan jumlah jaminan yang rendah.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 9 Januari lalu, Kosmo! Melaporkan majikan kepada pemilik Facebook, Eric Liew, Cisco ASEAN juga memaklumkan bahawa pekerja tersebut tidak lagi bekerja dengan syarikat berkenaan serta menyatakan kenyataan yang dikeluarkan Eric Liew dalam kapasiti peribadi bukan mewakili pandangan Cisco ASEAN. - K! ONLINE