Seri Paduka berangkat tiba di premis berkenaan pada kira-kira pukul 10.20 pagi dan menikmati hidangan ringkas roti canai bersama pegawai pengiring dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Sultan Abdullah turut berkenan membayar makanan semua pelanggan kedai berkenaan pada masa itu.

Pengurus Nasi Lemak Royale Kedah Cawangan Putrajaya, Sharifah Afidah Syed Abdul Rahman berkata, Seri Paduka juga sempat memaklumkan kepadanya untuk mencemar duli sekali lagi ke restoran itu bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Tuanku memesan menu biasa sahaja, roti canai dengan semua lauk kami seperti sotong, udang, sayur, daging, ayam dan Tuanku ambil kari kepala ikan.

"Terima kasih Tuanku kerana sudi datang dan bermurah hati belanja semua pelanggan yang ada dalam restoran tadi," katanya kepada Bernama.

Seorang penghantar gas, Mohd Rizuan Lidon yang kebetulan berada di restoran itu, turut meluahkan rasa teruja dapat bertemu dan bersalaman dengan Sultan Abdullah.

"Macam nak keluar air mata dapat jumpa Tuanku. Kebetulan hari ini saya awal hantar gas.

Memang terbaik, gembira boleh bersembang, tanya khabar Tuanku. Daulat Tuanku," katanya.
Selesai bersarapan, Seri Paduka juga bertemu para pelanggan dan berkenan berswafoto bersama pelanggan dan pekerja restoran.

Istana Negara turut memuat naik sebuah video dan tiga keping gambar Sultan Abdullah di restoran Nasi Lemak Royale Kedah dalam laman Instagram.

Melalui perkongsian tersebut, Seri Paduka kelihatan berbual bersama pengurus restoran dan menegur beberapa orang pelanggan yang sedang menikmati hidangan di restoran itu. - Bernama