Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, 46, berkata, beliau memang berniat memberikan hadiah kereta untuk Cik B selepas anaknya itu meminta kereta jenis Mustang beberapa bulan lalu.

“Sebenarnya, Cik B mahukan sebuah kereta Mustang sempena hari jadinya yang jatuh pada 19 Mei lalu. Namun, saya hanya belikan dia Mercedes-Benz sahaja.

“Pada pendapat saya, tidak salah untuk saya belikan dia kereta memandangkan saya ibunya dan berkemampuan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Biarpun Cik B masih belum mencapai usia 18 tahun dan tidak mempunyai lesen, Vida hanya membenarkan anaknya itu memandu di perkarangan rumah sahaja.

“Dia belum mempunyai lesen dan saya hanya membenarkan Cik B memandu di perkarangan rumah sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, Vida berkata, dia akan membelikan kereta baharu buat Cik B setiap kali tiba hari lahirnya pada masa depan.

Sebelum ini, Vida pernah menghadiahkan kereta Mini Cooper Countryman kepada Cik B sempena hari jadinya yang ke-12.- K! ONLINE