Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah mengesan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Vellfire itu dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah bangunan di Taman Melor Sejati di sana.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu masih dilaporkan hilang bersabit kes kenderaan curi di Kajang.

“Kenderaan tersebut telah dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan kehilangan MPV berwarna hitam itu disedari oleh pemandu Mohmad yang juga anggota polis pada pukul 8 malam ketika dia hendak beredar selepas menjamu selera di sebuah restoran sate di Su­ngai Ramal, Kajang pada pukul 8 malam.

Ketua Polis Sela­ngor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, hasil siasatan mendapati pemandu berusia 31 tahun itu dikatakan baru selesai menyelenggara kenderaan tersebut di Jinjang, Kuala Lumpur dan dalam perjalanan ke Negeri Sembilan. - K! ONLINE