Dalam kejadian pukul 1 petang itu, mangsa, Loo Koki Ann, 42, tahun maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan pada muka dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berpunca daripada kereta jenis Toyota Corola yang dipandu mangsa melanggar bahagian belakang van keselamatan jenis Toyota Hiace.

Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa terbabas ke kanan lorong sebelum dilanggar sebuah lori jenis Isuzu yang berada di lorong tersebut.

“Akibat pelanggaran itu juga, van keselamatan tersebut terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang berada di simpang sebelah kiri. 

“Lori berkenaan gagal menekan brek berikutan jarak kereta mangsa terlalu dekat malah akibat pelanggaran itu juga mangsa merempuh pembahagi jalan dan tersepit dalam keretanya sebelum dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

“Mangsa maut di lokasi kejadian akibat pelanggaran itu manakala pemandu dan penumpang van keselamatan yang mengalami kecederaan itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya sebentar tadi.

Tambahnya, wang berjumlah RM400,000 yang dibawa van keselamatan itu dipindahkan ke van lain milik syarikat yang sama dengan bantuan pihak polis. - K! ONLINE