Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, universiti itu boleh mengadakan beberapa siri pengisian program terutama di bahagian perkarangan menara terkenal itu yang boleh dijadikan tarikan.

"Antara tarikan istimewa yang ada di menara tersebut ialah 'Sky Restaurant' iaitu lokasi menikmati makanan di restoran berputar sambil melihat keindahan di sekitar Alor Setar.

"Kita mempunyai ribuan pelajar dan pensyarah yang boleh membantu memberikan idea untuk pengisian program nanti," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohamed Mustafa berkata demikian apabila ditanya perancangan universiti itu untuk membantu menarik semula pelancong ke menara berkenaan yang kini agak kurang memberangsangkan berbanding satu ketika dahulu.

UUM kini telah mengambil alih operasi restoran berputar di menara itu bermula pada pertengahan Ogos ini yang diuruskan sepenuhnya oleh EDC Hotels and Resorts milik universiti berkenaan.

Bagaimanapun sepanjang bulan Ramadan lepas, UUM telah dibenarkan untuk beroperasi lebih awal di restoran itu yang menawarkan 100 jenis juadah yang dinamakan 'Sajian Sintok'.

Antara sajian istimewa adalah kambing golek yang menggunakan ramuan istimewa Sajian Sintok itu.

Beliau berkata, semua inisiatif dan kolaborasi antara UUM dengan pengurusan menara itu juga adalah sebagai satu daripada langkah mempromosikan Menara Alor Setar selain memperkenalkan kejayaan UUM dalam bidang perniagaan.

"Ia selari sebagai satu institusi yang menawarkan program pengajian tinggi kepada setiap lapisan  masyarakat," katanya.

UUM juga telah mewujudkan Manager's Coffee iaitu sebuah 'cafe outlet' yang berkonsepkan reka bentuk moden yang telah beroperasi di UUM Sintok dan Terminal Jeti di Kuah, Langkawi, katanya. - Bernama