Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau itu dalam perjalanan pulang dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Kuala Lumpur selepas memberi ceramah agama.

Menerusi catatan dalam Facebook miliknya, pendakwah itu mendakwa kenderaan jenis Toyota Alphard dinaiki bersama tiga individu lain nyaris terbalik dalam insiden tersebut.

"Ada kereta masuk ke kanan tiba-tiba himpit kereta saya. Takde (tiada) kereta lain di highway (lebuh raya). Saya cuba elak sampai hampir kena divider (pembahagi jalan) kanan.

"Dua-dua (kenderaan) hampir terbalik. Saya tercampak ke depan. Sempat mengucap. Terhentak kuat juga. Sakit badan dengan hidung," katanya.

Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana semuanya selamat meskipun kereta yang menghimpitnya itu terbalik.

"Walau kita dah bawa elok tiba-tiba orang boleh leka atau mengantuk himpit kita. Syukur pada Allah semua selamat.

"Di sebalik musibah hari ini ada rahmat Allah menanti. Kasih sayang Allah. Staf PLUS dan towing (lori tunda) semua kenal," kongsinya yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantunya. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd. Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terlibat sedang bergerak dari arah Selatan menuju ke Utara. 

Jelas beliau, kedua-dua kenderaan itu berlanggar apabila tiba di lokasi kejadian, namun tiada kecederaan serius dilaporkan dan kes disiasat dibawah Peraturan 10 LN 166/59.

"Jalan di lokasi kemalangan ketika kejadian lancar, lurus dan cuaca adalah baik, tetapi jalan gelap kerana tiada lampu jalan," katanya. - K! ONLINE