Azraie berkata, pada pertandingan itu, beliau berjaya menewaskan para peserta dari 75 negara lain dengan meraih markah 96 peratus yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai KUD 5,000 (RM64,857) dan sijil penghargaan.

"Pengalaman dalam menyertai pertandingan Tilawah di Moscow, Turki dan Iran sebelum ini memberi banyak pengalaman kepada saya untuk memperbaiki bacaan dan persembahan saya pada pertandingan kali ini," katanya.

"Ini merupakan kejayaan kali pertama buat saya sebagai juara di peringkat antarabangsa," katanya kepada wartawan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Bagi Azraie, pertandingan di Kuwait agak mencabar bagi dirinya kerana sistem penghakiman yang begitu teliti selain perlu bersaing dengan beberapa peserta yang berpengalaman dan pernah menjuarai pertandingan tilawah yang lain sebelum ini. - Bernama