Beliau berkata, usaha itu perlu dipergiat dengan kerjasama pelbagai pihak melalui penambahan infrastruktur pendidikan dan penerapan terhadap kempen kesedaran mengenai kepentingan pendidikan. 

"Kesedaran dan perubahan ini perlu bermula di peringkat rumah lagi, iaitu dalam kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli," katanya semasa berucap pada Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Mahathir berkata, sehingga kini terdapat seramai 1,090 pelajar Orang Asli yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam pelbagai jurusan, selain yang berjaya melanjutkan pelajaran di universiti luar negara pada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. 

"Jumlah ini memberi isyarat kepada kerajaan bahawa masyarakat Orang Asli sudah sedar mengenai pentingnya pendidikan," katanya. - Bernama