Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dua perangkap telah di pasang di lokasi strategik bagi menangkap harimau belang dewasa berkenaan.

"Umpan seekor kambing hidup telah digunakan bagi menarik perhatian harimau yang masih terlepas itu dan pemantauan akan dilakukan dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu.

"Sebelum ini, kita telah menangkap seekor dari dua ekor harimau belang yang dilaporkan penduduk telah memasuki perkampungan ini pada Khamis lalu,"  katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Kampung Besol Lama, Bukit Besi dekat sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan seekor harimau jantan digelar 'Awang Besol' berusia lima tahun telah berjaya ditangkap anggota Perhilitan di kawasan belukar di Kampung Besol Lama.

Sehari sebelum itu, kelibatnya dan seekor lagi harimau yang agak jinak menggemparkan penduduk perkampungan itu. - K! ONLINE