Kegagalan kumpulan berkenaan untuk bertindak positif kepada pelawaan dan saranan bagi menyertai  meja perbincangan itu disahkan sendiri Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan.

"Fasilitator Malaysia menghubungi sayap tentera BRN, sekurang-kurangnya tiga kali untuk membawa mereka menyertai perbincangan keamanan itu, tetapi mereka masih  tidak menyertai dialog keamanan itu," menurut beliau, yang juga Menteri Pertahanan negara ini di sini baharu-baharu ini.

Prawit, yang juga bertanggungjawab bagi keselamatan dalaman Thailand, bingung dengan alasan di sebalik tindakan kumpulan itu yang menolak tawaran untuk menyertai perbincangan keamanan itu.

Membawa sayap bersenjata BRN ke meja perbincangan itu adalah antara matlamat fasilitator Malaysia, Tan Sri Abdul Rahim Noor, apabila beliau cuba untuk menyambung semula perbincangan  keamanan itu mengikut jadual selepas lebih enam bulan dalam hibernasi.

Rahim dilantik oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi fasilitator baharu menggantikan Datuk Ahmad Zamzamin Hashim.

Bekas Ketua Polis Negara itu mahu memastikan perbincangan keamanan yang diketuai Malaysia itu lebih inklusif kali ini, dengan menyenaraikan penglibatan "kumpulan satu lagi" yang tidak menyertai proses yang sedang berjalan antara kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (Mara Patani).

Bercakap kepada media di Bangkok bulan lepas ketika beliau mengiringi Mahathir semasa lawatan kerja pertamanya ke Thailand, Abdul Rahim melahirkan keyakinan bahawa sayap bersenjata BRN akan menjadi sebahagian daripada proses keamanan yang beliau cuba untuk laksanakan dengan Bangkok.

Sementara itu, satu sumber yang rapat kepada fasilitator Malaysia memberitahu Bernama bahawa  usaha untuk mendapatkan penyertaan daripada sayap bersenjata BRN dalam perbincangan keamanan itu masih diteruskan meskipun gagal pada peringkat awal.

"Kami tahu apa yang perlu dilakukan (untuk dapatkan persetujuan daripada kumpulan tegar itu untuk menyertai proses keamanan)," katanya, yang kekal tidak mahu dikenali.

Sumber itu berkata, sayap politik BRN bersetuju untuk menyertai perbincangan itu tetapi pihak yang tegar atau sayap bersenjata kumpulan itu masih bermain tarik tali dengan fasilitator.

Namun begitu, beliau menyatakan keyakinan bahawa kumpulan tegar BRN akan akhirnya  bersetuju  menyertai proses keamanan itu.

Bagi mendapatkan penyertaan sayap bersenjata BRN dalam proses keamanan Selatan Thailand adalah penting kerana kumpulan tegar itu bukan sahaja kumpulan paling berpengaruh di wilayah selatan malahan paling lengkap bersenjata menjadikan ia penting untuk sebarang usaha keamanan.

Para analisis menyatakan bahawa untuk mendapatkan keamanan di empat wilayah selatan Thailand - Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkla - hendaklah disertai oleh sayap bersenjata bayangan BRN.

Sementara itu, ketua delegasi Thailand ke perbincangan keamanan itu, Jen Udomchai Thammasarorath  berkata, beliau belum lagi diberitahu oleh fasilitator Malaysia sama ada sayap bersenjata BRN bersetuju  untuk menyertai perbincangan keamanan itu.

Menurut beliau kerajaan mahu berbincang dengan sayap bersenjata BRN untuk mendengar tuntutan dan cadangan mereka.

"Jika sekiranya fasilitator boleh menghubungi dan membawa mereka berbincang dengan kita, ia mungkin  memberi petunjuk yang baik. Saya rasa sudah masanya sayap bersenjata BRN tampil dan berbincang  dengan kita," kata Jeneral itu yang pernah bertugas sebagai komander tentera bagi Selatan Thailand. - Bernama