Beliau berkata pelabur asing telah menanyakan sama ada wajar untuk mereka bimbang mengenai keadaan buruk disebabkan hutang besar yang ditanggung negara namun beliau telah menjelaskan bahawa kerajaan sekarang sedang memulihkan semula keadaan termasuk mengurangkan pinjaman.

"Negara sedang dipulihkan dan negara akan mempunyai iklim yang baik untuk pelaburan. Selepas dipulihkan, (negara akan) lebih sesuai untuk pelaburan," katanya kepada media Malaysia pada Isnin sebelum mengakhiri lawatan siri keduanya ke United Kingdom (UK).

Ketika di London, Mahathir telah menemui beberapa ahli perniagaan yang berpangkalan di UK termasuk yang telah mempunyai operasi di Malaysia.

Menurutnya, terdapat pelabur asing yang terkejut apabila mengetahui tahap hutang besar negara yang dilaporkan mencecah lebih RM1 trilion namun beliau telah memberikan penerangan mengenai usaha pemulihan yang dilakukan kerajaan.

"Saya menjelaskan bahawa kita sudah berjaya mengurangkan beban hutang ini dan keadaan amat sesuai untuk pelaburan baharu kerana kita sebagai kerajaan yang suka berbaik dengan swasta dan kita menganggap swasta sebagai rakan dalam membangunkan negara," katanya. - Bernama