Sebelum ini, pejabat yang beroperasi di Bangunan Persekutuan, Kampung Raja itu hanya menjalankan urusan penerimaan pasport sahaja dan pemohon hanya akan menerima dokumen perjalanan masing-masing yang telah siap dalam tempoh tiga hari.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, pembukaan bagi urusan penerimaan dan pengeluaran pasport di Pejabat Imigresen Besut itu bertujuan memastikan sistem penyampaian khidmat awam tersebut dapat diperluaskan lagi. 

"Selepas meneliti permohonan yang agak tinggi bagi daerah tersebut dengan purata di antara 4,000 hingga 5,000 pasport dalam setahun, jadi saya meminta Jabatan Imigresen negeri supaya menyediakan segala keperluan termasuk bilangan kakitangan yang mencukupi sebelum mula menawarkan perkhidmatan itu pada 1 Jun. 

"Pejabat imigresen di daerah tersebut adalah pejabat penerima dan pengeluar pasport yang ketiga dibuka di negeri ini selepas Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu dan Chukai, Kemaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Imigresen negeri di UTC Kuala Terengganu hari ini. - K! ONLINE