Jumlah ini termasuk 283 murid Orang Asli dan yang tinggal di pedalaman serta 110 orang murid berkeperluan khas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Alam Sekitar Perak, Abdul Aziz Bari berkata, ia turut melibatkan 4,355 petugas yang terdiri daripada pengawas dan penyelia sepanjang peperiksaan itu yang berakhir 12 September.

Menurut beliau, walaupun pendekatan UPSR tidak lagi terlalu menekankan kepada peperiksaan tetapi ia masih lagi penting kerana menjadi salah satu komponen pentaksiran sekolah bagi mengukur pencapain murid.

“Ini tahun kedua UPSR dijalankan dalam suasana lebih tenang di mana peperiksaan tidak lagi menjadi sesuatu yang mengerikan kepada murid-murid.

“Matlamat pendidikan kini ialah lebih fokus ke arah menjadikan murid yang seimbang. Walaupun tekanannya kurang tetapi peperiksaan ini masih lagi penting,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas mengadakan tinjauan UPSR 2019 di Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh di sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Meja UPSR/UOL, Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Perak, Rohaizad Abdullah Fisol dan guru besar sekolah berkenaan, Rustam Affandy Abd. Aziz.

Terdahulu, pihak sekolah menyediakan sarapan pagi kepada 125 calon UPSR sekolah itu bagi memastikan mereka bersedia sebelum melangkah memasuki dewan peperiksaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz memberitahu, keadaan jerebu di negeri ini terkawal apabila bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan seperti Ipoh, Taiping dan Manjung adalah sederhana.

Katanya, aktiviti luar darjah berjalan seperti biasa dan pihak sekolah perlu merujuk kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah bagi sebarang arahan. - K! ONLINE