Gelagat ketiga-tiga watak tersebut secara tidak langsung dapat menghilangkan perasaan gementar murid-murid khususnya tahun satu yang baharu memasuki alam persekolahan hari ini.

Guru Besar SK Putrajaya Presint 11 (1), Rohana Abd. Manaf berkata, pihak sekolah menampilkan tiga watak tersebut bagi mewujudkan suasana ceria kepada murid-murid.

"Upin dan Ipin serta Pikachu merupakan animasi kesukaan kanak-kanak, sudah pastinya kelibat watak itu dapat menghidupkan suasana ceria di sekolah.

"Selain itu, ia bertujuan mententeramkan perasaan gementar murid-murid tahun satu yang mungkin masih kekok untuk memulakan sesi pembelajaran," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Rohana, kecerian dan kegembiraan jelas terpancar di wajah murid-murid sebaik sahaja melihat maskot tersebut yang merupakan kemunculan pertama di sekolah itu.

Pada masa sama, kemunculan adik-beradik kembar murid tahun satu juga menarik perhatian hari pertama sekolah tersebut.

Pasangan kembar itu, Darwisya Adriana Mohd. Helmie dan Darwisya Sophia Mohd. Helmie merupakan antara 266 murid tahun satu SK Putrajaya Presint 11 (1).

Menurut ibu mereka, Norlizawaty Baharin, 33, berkata, kedua-dua perempuannya diletakkan dalam kelas yang sama agar mereka tidak berasa janggal.

"Alhamdulillah, mereka sangat gembira dan tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran hari ini," katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Putrajaya, Roaini Jaafar turut meninjau hari pertama sekolah tersebut. - K! ONLINE