Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, gesaan itu dikeluarkan oleh beliau sendiri sebagai menteri berkuatkuasa serta-merta tanpa sebarang halangan seperti yang berlaku pada kerajaan terdahulu.

"Sebagai Menteri Pendidikan, saya menggesa Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar supaya tidak melakukan sekatan bagi penganjuran program-program ilmiah, wacana dan dan dialog di universiti.

"Semua perkara yang menghalang termasuk meletakkan palang di pintu masuk utama universiti bagi menghalang kemasukan kenderaan awam juga tidak lagi dibenarkan. Kita mahu univerisiti awam menjadi medan perkongsian intelektual dan setaraf universiti di negara maju seperti Universiti Oxford dan Universiti Cambridge," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau berbuka puasa bersama warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Majlis Iftar KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 11 (1) di sini hari ini.

Menurut Maszlee, sekiranya ingkar dengan gesaan tersebut pihak universiti mungkin akan berdepan dengan kritikan memandangkan buat masa ini tiada sebarang peruntukan undang-undang dikenakan.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata, bagi mengatasi permasalahan bebanan beg sekolah berat dalam kalangan pelajar sekolah, beliau berkata kementerian memberi kuasa penuh kepada guru-guru dan pihak sekolah untuk mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi perkara tersebut.

"Kementerian akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji dan mencari mekanisme dalam usaha mengurangkan beban beg sekolah anak-anak," katanya. - K! ONLINE