Dr. Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai perkara itu.

"Peguam Negara (akan) beritahu apa yang patut diperketatkan kerana undang-undang, peraturan dan akta yang kita ada mempunyai kelompangan yang perlu diisi.

"Setakat ini, kami masih berbincang dengan Jabatan Peguam Negara," katanya kepada pemberita  pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.

Seorang bayi lelaki 10 bulan yang parah pada kepala dipercayai terjatuh di rumah pengasuh, meninggal dunia pagi tadi selepas empat hari dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

"Saya sangat sedih apabila perkara seperti ini berlaku lagi. Ini satu tragedi. Pihak kementerian sedang mendapatkan butir-butir lanjut mengenai perkara ini," kata Dr. Wan Azizah.

Media melaporkan seorang bapa, Nabil Fikri Anwar, 28, melalui aplikasi WhatsApp berkata anaknya, Naufal Amsyar, 10 bulan, yang juga bayi tunggalnya, meninggal dunia pada 9 pagi tadi.

Selasa lepas, bayi yang dijaga seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun di Tangkak itu dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi itu selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.

Susulan itu, Khamis lepas polis menahan pengasuh terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pada 3 Julai lalu, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, yang berusia lima bulan, dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini sebelum  mayatnya ditemukan di dalam peti sejuk di rumah sama pada kira-kira 11 malam hari kejadian.

Pengasuhnya, Noor Aqilah Abd Rahman, 33, didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 13 Julai lalu atas tuduhan menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan melupuskan mayat bayi itu dengan niat menyembunyikan kematian. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala. - Bernama