Ahli Unit Komunikasi Ibu Pejabat UMNO, Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat di seluruh negara resah dan gelisah kerana selepas seminggu PRU ke-14 selesai, namun tidak nampak bayangan jelas pembentukan Kabinet.  

“Setakat ini banyak pengumuman dasar dan hala tuju kerajaan diumumkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bukan menteri dan ini bertentangan dengan tatacara urusan kerajaan. 

“Malah ini juga akan mengundang masalah kerana mereka yang mengumumkan dasar tidak ada legitimasi untuk berbuat demikian,”
katanya dalam suatu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau juga menambah, UMNO berharap penubuhan Kabinet berjalan dengan teratur demi kesejahteraan rakyat dan negara kerana urusan mentadbir negara perlu didahulukan daripada pertimbangan lain. 

“UMNO mahu proses pelantikan Menteri Kabinet mengikut proses yang termaktub dalam Perlembagaan dan menghormati kedaulatan Majlis Raja-Raja.

“Pelantikan ahli Kabinet yang tidak teratur atau dibuat ala koboi akan mengakibatkan negara kita hilang integriti dan tidak dihormati,” jelasnya.

Menurutnya lagi, contoh pengumuman Bekas Ketua Menteri Pulau, Pinang, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendapat reaksi negatif daripada rakyat. 

“Pastinya, Dr. Mahathir tahu beliau (Guan Eng) kini menghadapi pertuduhan rasuah dan akan menjalani proses perbicaraan. 

“Tidak hairanlah Perdana Menteri membuat ‘u-turn’ mengenai pelantikan Menteri Kewangan apabila tindakannya dipersoalkan oleh rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mahu supaya kerajaan PH mentadbir negara dengan baik dan tenteram serta memenuhi janji-janji dalam manifesto mereka dalam tempoh 100 hari.

“Rakyat sedang memerhati. Ini termasuk memberikan autonomi segera kepada negeri Sabah dan Sarawak serta mengotakan janji untuk menambah 15% royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan. 

“Pastinya pakar-pakar ekonomi yang telah dilantik akan mampu mencari jalan untuk mengotakan semua janji-janji ini,” katanya. - K! ONLINE