Menurut laporan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2018/2019 yang dikeluarkan kelmarin, UM berada di tangga ke-87 dunia dalam senarai universiti terbaik dunia.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kejayaan itu menyaksikan UM mendaki 27 anak tangga selepas berada di kedudukan ke-114 sebelum ini.

"Sekalung tahniah diucapkan kepada UM. Anda (UM) telah menampilkan prestasi yang konsisten. Awal tahun ini, tujuh kursus yang ditawarkan UM turut disenaraikan dalam kelompok 50 terbaik dunia.

"Tahun lalu, Fakulti Kejuruteraan UM menempatkan diri dalam kedudukan 10 fakulti terbaik di dunia mengikut laporan media Amerika Syarikat, US News," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Menurut Dr. Maszlee, kejayaan UM itu memberi indikasi bahawa institusi pendidikan tinggi di Malaysia telah berjaya menyediakan satu sistem yang berkualiti dan positif menuju ke arah Revolusi Industri 4.0.

"Ini memberi kelebihan kepada Malaysia berbanding negara-negara jiran sebagai hab pendidikan tinggi dan seterusnya menjadi pilihan untuk melanjutkan pelajaran bagi pelajar-pelajar antarabangsa.

"Saya yakin bahawa setelah kita memperkenalkan akta baharu untuk mentadbir universiti-universiti awam bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) nanti, semua universiti di negara ini akan menjadi lebih kompetitif hasil daripada kebebasan akademik dan autonomi yang akan mereka peroleh," katanya.

Selain UM, empat lagi universiti awam turut memperlihatkan peningkatan cemerlang iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berada di kedudukan ke-184 berbanding di tangga ke-230 pada tahun 2017.

Ia dikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) di tangga ke-202 berbanding kedudukan ke-229 pada tahun 2017; Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu tangga ke-207 (2017:264) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tangga ke-228 (2017:253).

Lapan lagi institusi pendidikan tempatan (awam dan swasta) pula berjaya berada dalam kelompok 1,000 terbaik dunia iaitu Universiti UCSI; Universiti Teknologi Petronas (UTP); Universiti Taylor; Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Islam Antarabangsa (UIAM); Universiti Tenaga Nasional (Uniten); Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Multimedia (MMU). - K! ONLINE