Sewaktu ditemui, reptilia yang dianggarkan seberat 200 kilogram dan sepanjang enam meter itu sedang berlingkar di dalam sebuah reban ayam. 

Ketua BBP Kerteh, Timbalan Penguasa Bomba Khairul Hasmi Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.45 pagi daripada pemilik rumah tersebut sebelum lima pegawai dan anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, ular tersebut didapati tidak mampu bergerak kerana kekenyangan dan anggota mengalami sedikit kesukaran untuk menarik keluar reptilia itu berikutan kawasan reban yang sempit.

"Anggota mengambil masa kira-kira setengah jam untuk membawa keluar ular sawa batik itu berikutan ia bertukar menjadi agresif setiap kali ditarik," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE