Menduduki tangga ke-12 di dunia (untuk penarafan universiti terbaik di bawah usia 50 tahun), UKM amat berbangga dengan pencapaian kedudukan terbaik semenjak ia ditubuhkan pada 1970.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, penasafan tersebut adalah hadiah istimewa buat semua rakyat Malaysia.

UKM ditubuhkan 48 tahun yang lalu pada 18 Mei 1970 (dan akan menjangkau 50 tahun pada 2020), hasil daripada dukungan jitu dan aspirasi rakyat.

“Aspirasi kebangsaan itu terus tersemai mekar dalam jiwa seluruh warga UKM. Kecemerlangan universiti semestinya sentiasa dipacu oleh keutuhan kesarjanaan yang mampu memberi dampak kepada masyarakat,” tambah beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Azlan lagi, memperoleh penarafan di peringkat global hanyalah sebahagian kecil matlamat UKM yang sebenarnya memiliki misi yang lebih besar.

“Pencapaian ini adalah manifestasi bahawa UKM berada pada landasan yang betul.“UKM berpendapat kejayaan ini perlu terzahir dan dirasai oleh semua pemilik berkepentingan seperti rakyat, kerajaan, industri dan para sarjana.

“UKM akan terus menilai pencapaian dengan universiti terbaik dunia tanpa mengabaikan misi kebangsaan.

“UKM juga berazam untuk kekal relevan kepada masyarakat dan negara serta menyerlah di persada antarbangsa. Untuk tujuan ini, warga UKM - para sarjana, mahasiswa serta pegawai pengurusan dan pelaksana perlu sederap bergerak bersama,” tambahnya dengan memberitahu, pencapaian itu juga meletakkan UKM dalam liga universiti global terbaik.

Tambah beliau, warga UKM turut mengalu-alukan sokongan berterusan kerajaan baharu dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara.

“Kami menyahut imbauan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk mengimbangi kecemerlangan kesarjanaan dengan kecemerlangan kemanusiaan yang termaktub kukuh dalam misi UKM.

“Universiti ini adalah milik negara, denyut nadinya adalah denyut nadi Malaysia, bukan UKM semata-mata,” kata beliau. - K! ONLINE