Ketua Eksekutif MPM, Mohd. Fauzi Datuk Mohd. Kassim berkata, keputusan itu dibuat susulan penutupan lima buah pusat ujian MUET di kawasan Pasir Gudang yang terjejas ekoran bencana pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim.

Menurutnya, pusat-pusat ujian terbabit adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Timur, SMK Pasir Gudang 2, SMK Taman Daya, SMK Taman Johor Jaya (1) dan Politeknik Ibrahim Sultan.

"Susulan kenyataan media oleh Menteri Pendidikan bertarikh 13 Mac berkaitan dengan penutupan 111 buah sekolah dalam daerah Pasir Gudang, Johor ekoran bencana pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, maka MPM mengambil keputusan sama dengan menutup lima pusat ujian MUET di Pasir Gudang," katanya di sini hari ini.

Mohd. Fauzi berkata, ujian bertulis MUET Sesi 1 2019 bagi calon-calon di pusat terbabit akan ditunda kepada hari Sabtu bersamaan 6 April depan.

"Calon-calon di pusat tersebut boleh menduduki ujian ini di pusat yang sama tanpa sebarang caj tambahan," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, calon-calon boleh menghubungi terus MPM di talian 03-6126 1662 atau 03-6126 1666 selain menghubungi Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri. - K! ONLINE