Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM), Datuk Mohd. Zaini Hassan berkata, isu sama ada UiTM terbuka atau tidak kepada bukan bumiputera perlu selaras dengan sistem pendidikan negara.

"Kita tidak ada masalah sama ada UiTM dibuka atau ditutup kepada bukan bumiputera... tetapi ia harus selaras dengan sistem pendidikan negara yang diguna pakai sekarang.

"Alasan saya mudah sahaja, selagi sistem pendidikan persekolahan masih lagi pelbagai aliran (mengikut kaum), selagi itulah saya rasa matlamat asal UiTM harus dikekalkan iaitu untuk Melayu dan bumiputera.

"Jika mahu bangkitkan isu ini adalah lebih baik kita selesai dahulu di peringkat persekolahan (sekolah rendah dan sekolah menengah) kerana pada peringkat ini akan berlakunya integrasi kaum dan sebagainya," kata beliau dalam program Ala Carte Pagi bertajuk 'Pertahankan UiTM' di Bernama Radio, di sini hari ini.

Pada 28 Mei lepas, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM. - Bernama