Titah baginda, institusi raja-raja Melayu merupakan identiti tamadun pemerintahan negeri beraja yang menjadi payung kepada perpaduan dan penyatuan. 

"Identiti ini perlu terus disubur dan ditanam dalam setiap jiwa anak-anak muda khususnya para graduan universiti ini sebagai universiti yang kaya dengan warisan sejarah. 

"Universiti ini hendak sentiasa menyuntik nafas dinamik dalam pembentukan acuan masyarakat berbilang bangsa dan agama yang bersatu padu di bawah payung pemerintahan negara," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-90 di Dewan Agung Tunku Canselor UiTM hari ini. 

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan anakanda Baginda, Putera Abdul Mateen.

Al-Sultan Abdullah yang juga Tuanku Canselor UiTM bertitah hanya melalui kesatuan dan perpaduan sahaja, Malaysia akan terus mengorak langkah merentasi segala halangan menuju ke mercu kejayaan. 

Justeru, baginda turut mengingatkan  para graduan agar bekerja keras dalam setiap kerjaya yang bakal diceburi bagi mengharungi zaman yang penuh kompetitif ini. 

"Tiada jalan pintas untuk mengecapi sesuatu kejayaan dan rahsia untuk berjaya kehidupan hanya melalui keperibadian yang disulami sifat usaha, taqwa dan mulia. 

"Keperibadian ini wajib dijunjung oleh setiap graduan dalam mengharungi alam pekerjaan dan liku-liku kehidupan," titahnya. 

Konvokesyen UiTM kali ini melibatkan 22,594 graduan di seluruh negara bermula hari ini sehingga 25 April depan. - K! ONLINE